Kejayaan era maklumat kini banyak bergantung kepada
kemahiran berfikir aras tinggi seperti, kemahiran penyelesian masalah,
kemahiran membuat penilaian secara kritis serta kemahiran berfikir secara
kreatif. Oleh itu, pelajar perlu dilibatkan dengan aktiviti yang menjurus
kepada tahap pemikiran yang lebih tinggi mengikut taksonomi bloom
(menganalisis, menilai, mencipta).
Keadaan dunia yang sentiasa berubah dan mencabar ini,
menuntut para pelajar kita bukan hanya membina kapasiti dari aspek pengetahuan
semata-mata tetapi juga membina pemikiran aras tinggi seperti pemikiran
sistematik, penyelesaian masalah dan membuat keputusan berdasarkan
analisis situasi secara kritis. Pembangunan
KBAT adalah amat penting untuk membolehkan pelajar membuat anjakan dari
pengetahuan serta kemahiran kepada tindakan sebagai rakyat yang
bertanggungjawab tanpa mengira peranan dalam masyarakat.
KBAT mengaplikasikan pemikiran secara kritikal,
pemikiran kreatif, pemikiran logical, pemikiran reflektif dan meta kognitif.
Secara mudahnya murid mencerap sesuatu data atau maklumat kemudian diproses
dalam minda dan akhirnya dikeluarkan semula dalam pelbagai bentuk. Kemahiran
berfikir ini juga dikatakan sebagai berfikir secara kritis dan kreatif.
Memiliki kemahiran ini murid bebas untuk membanding,
membeza, menyusun atur, mengelas dan mengenal pasti sebab dan akibat mengikut
pendapat dan pandangan mereka sendiri. Andai kata diberikan suatu soalan maka
murid boleh memberi jawapan dalam pelbagai bentuk, idea baru dan melihat
daripada beberapa sudut. Di sinilah dikatakan wujudnya pemikiran berbentuk
kreatif, inovatif dan mereka cipta di kalangan murid.
KBAT ini juga mempunyai kelebihan lain iaitu dapat
meningkatkan lagi keupayaan dan kebolehan sedia ada pada murid. Mereka akan
dapat mengawal, memandu dan mengukur pembelajaran yang telah mereka kuasai.
Kebolehan ini akan menjadikan mereka lebih produktif dan berdaya saing.
Seterusnya sudah tentu dapat meningkatkan kefahaman dan memperkukuh
pembelajaran dalam apa sahaja perkara yang mereka pelajari nanti.
Bagi menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam
kalangan murid maka peranan guru sangat signifikan. Usaha ke arah itu perlu
dilakukan secara bersungguh-sungguh.
Sebenarnya kemahiran berfikir ini bukanlah
asing kepada guru kerana mereka telah didedahkan tentang konsep dan kaedah
kemahiran ini semasa mengikuti latihan perguruan di maktab atau universiti
suatu ketika dahulu. Walau apa pun guru perlu terus ditingkatkan keupayaan
kemahiran berfikir mereka supaya dapat memberikan yang terbaik kepada murid
dalam pengajaran mereka.
Antara cara berkesan yang boleh dilakukan untuk
menerapkan KBAT dalam PdP ialah dengan mengemukakan soalan-soalan yang
berunsurkan KBAT semasa proses PdP dijalankan. Soalan dikemukakan adalah soalan
yang membolehkan murid untuk mengaplikasi, menganalisa, mensintesis dan menilai
suatu maklumat daripada sekadar menyatakan semula fakta atau hanya mengingati
fakta yang telah dipelajari.
No comments:
Post a Comment